Monday, June 15, 2009

Sistem dan Peraturan Pertandingan

1. UMUM
1.1. Pertandingan ini dinamakan Kejohanan Debat Piala MUSLEH.

1.2. Peraturan ini diterima untuk Kejohanan Debat Piala MUSLEH.

1.3. Tafsiran peraturan ini merupakan hak mutlak Sekretariat Kejohanan Debat Piala MUSLEH sebagai urusetia pertandingan.

1.4. Urusetia mempunyai hak untuk meminda sebarang peraturan sebelum permulaan pertandingan sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh Jawatankuasa Kejohanan Debat Piala MUSLEH.


2. TAFSIRAN
2.1. "Pengarah Kejohanan" dan "Panel Hakim" bermaksud individu yang dilantik oleh pihak penganjur untuk memegang jawatan-jawatan yang tersebut.

2.2. "Sekolah" bermaksud semua sekolah yang menyertai pertandingan ini.


3. PENYERTAAN
3.1. Setiap sekolah boleh menghantar maksima dua (2) pasukan bagi setiap kategori untuk pertandingan ini dengan diiringi oleh seorang guru bagi setiap pasukan dari sekolah masing-masing.

3.2. Setiap pasukan dibenarkan menyertai hanya satu (1) kategori sahaja.


4. KELAYAKAN
4.1. Untuk melayakkan diri menyertai pertandingan ini, pendebat hendaklah merupakan pelajar yang sedang belajar di sekolah yang diwakili mereka. Pengesahan bahawa mereka adalah pelajar dari sekolah berkenaan hendaklah dilakukan oleh Pengetua sekolah masing-masing.

4.2. Peserta hanya boleh berdebat untuk pasukan yang mendaftarkannya sahaja.


5. SISTEM PERTANDINGAN
5.1. Pertandingan ini akan menggunakan sistem "power match" untuk pusingan awal. Sistem ini akan digunakan untuk menentukan pasukan yang akan berlawan dan juga peranan mereka sebagai kerajaan atau pembangkang.

5.2. Pusingan awal adalah terdiri daripada tiga (3) perlawanan. Penentuan kumpulan lawan untuk perdebatan yang pertama akan dilakukan secara rawak. Selepas perdebatan yang pertama, kedudukan setiap pasukan akan ditentukan dengan mengambil kira kriteria-kriteria berikut:
  1. Menang/Kalah
  2. Juri
  3. Margin
  4. Markah

5.3. Untuk pusingan kedua, pasukan-pasukan yang menang dalam pusingan pertama akan dikelompokkan dalam satu kumpulan dan pasukan-pasukan yang kalah pula akan dikelompokkan dalam kumpulan yang lain. Penentuan pertandingan seterusnya akan dibuat berdasarkan kedudukan dalam kumpulan-kumpulan tersebut.

5.4. Selepas setiap perdebatan, kedudukan setiap pasukan akan ditentukan semula seperti kaedah yang digunakan di atas.

5.5. Melalui kaedah "power match", ada kemungkinan bahawa pasukan akan bertanding dengan pasukan lawan yang sama lebih dari sekali.

5.6. Penentuan peranan (kerajaan/pembangkang) untuk perdebatan pertama akan ditentukan secara rambang.

5.7. Penentuan peranan (kerajaan/pembangkang) untuk perdebatan yang seterusnya akan ditentukan mengikut peranan setiap pasukan dalam perdebatan yang sebelumnya. Selalunya, penentuan peranan sesebuah pasukan adalah berdasarkan jumlah pasukan tersebut menjadi kerajaan.

5.8. Penentuan peranan (kerajaan/pembangkang) untuk perdebatan pusingan separuh-akhir dan akhir adalah dibuat berdasarkan undian atau lambungan syiling di hadapan ketua pasukan masing-masing.

5.9. Selepas selesai kesemua pertandingan dalam pusingan awal, pasukan yang layak ke pusingan suku-akhir akan ditentukan berdasarkan kedudukan dalam "power match". Kedudukan ditentukan berdasarkan kriteria-kriteria berikut:
  1. Menang/Kalah
  2. Juri
  3. Margin
  4. Markah

5.10. Empat (4) pasukan dengan kedudukan teratas akan layak ke pertandingan separuh-akhir.

5.11. Pertandingan separuh-akhir akan dijalankan secara kalah mati.

5.12. Penentuan pasukan untuk pusingan kalah mati adalah seperti berikut:



6. MASA PERSEDIAAN
6.1. Penentuan peranan sebagai kerajaan/pembangkang akan dilakukan 30 minit sebelum perdebatan. Sebarang masa perjalanan adalah termasuk dalam 30 minit berkenaan. Semua pasukan diharapkan dapat menepati masa berkenaan.

6.2. Mana-mana pasukan yang gagal menghadiri perdebatan selepas 15 minit dari masa permulaan perdebatan akan dikira kalah.

6.3. Hanya empat (4) orang pendebat yang berdaftar sahaja dibenarkan berbincang sewaktu masa persediaan. Tiada sebarang jenis bantuan dari luar dibenarkan.


7. STRUKTUR PERDEBATAN

7.1. Perdebatan dijalankan dalam Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab mengikut gaya ala-Parlimen Malaysia.

7.2. Setiap pusingan debat mempunyai dua (2) pasukan iaitu pasukan kerajaan (pencandang) dan pembangkang. Setiap pasukan terdiri daripada tiga (3) orang pendebat dan seorang, pendebat simpanan.

7.3. Pasukan kerajaan terdiri daripada Perdana Menteri dan dua (2) orang anggota kerajaan, manakala pasukan pembangkang terdiri daripada Ketua Pembangkang dan dua (2) orang anggota pembangkang.

7.4. Setiap pendebat perlu menyampaikan ucapan substantif. Ucapan gulungan bagi pihak kerajaan dan pembangkang boleh disampaikan sama ada oleh pendebat utama atau kedua daripada pihak masing-masing.

7.5. Had waktu dan susunan ucapan bagi setiap pendebat adalah seperti berikut:

  • Ucapan Substantif
  1. Perdana Menteri/pencadang utama: 7 minit
  2. Ketua Pembangkang/pembangkang pertama: 7 minit
  3. Anggota Pertama Kerajaan/pencandang kedua: 7 minit
  4. Anggota Pertama Pembangkang/pembangkang kedua: 7 minit
  5. Anggota Kedua Kerajaan/pencadang ketiga: 7 minit
  6. Anggota Kedua Pembangkang/pembangkang ketiga: 7 minit
  • Ucapan Gulung
  1. Gulungan/Rumusan Pembangkang: 4 minit
  2. Gulungan/Rumusan Kerajaan: 4 minit
7.6. Untuk setiap ucapan substantif, loceng akan dibunyikan sekali selepas seminit masa berlalu bagi menandakan pasukan lawan sudah boleh melakukan celahan/meminta penjelasan, dan sekali lagi pada satu minit terakhir bagi menandakan masa untuk membuat celahan telah tamat. Loceng akan dibunyikan dua kali apabila masa ucapan pendebat telah tamat.

7.7. Untuk ucapan gulungan, loceng akan dibunyikan sekali pada permulaan minit ketiga dan dua kali apabila masa ucapan telah tamat.

7.8. Pendebat yang melebihi had masa berucap sehingga 30 saat akan diberi amaran oleh Yang di Pertua Dewan (Speaker). Pendebat akan diminta menamatkan ucapan dan boleh diberikan penalti.


8. PERANAN SETIAP PASUKAN
8.1. Peranan pihak kerajaan adalah untuk menyongkol usul. Mereka perlu mendefinisikan usul, memberikan hujahan/kes yang menyongkol usul, dan membidas sebarang cabaran yang diberikan oleh pihak pembangkang terhadap hujahan usul mereka.

8.2. Peranan pihak pembangkang adalah membangkang usul. Mereka perlu menjawab definisi kerajaan dan jika perlu, membina hujahan/kes bangkangan terhadap usul membidas hujahan yang dikemukakan oleh pihak kerajaan.


9. PENGHAKIMAN
9.1. Setiap perdebatan akan dihakimi oleh satu panel hakim. Bilangan hakim mestilah ganjil.

9.2. Pada pusingan awal, seorang hakim akan bertindak sebagai Yang di Pertua Dewan dan akan digelar Tuan/Puan Yang di Pertua. Dalam pusingan akhir, Yang di Pertua tidak perlu dilantik di kalangan panel hakim.

9.3. Yang di Pertua Dewan bertanggungjawab menjemput pendebat berucap, menjaga ketertiban majlis dan tertakluk kepada peraturan ini, membuat keputusan tentang sebarang aspek tatacara dan prosedur perdebatan yang dipertikaikan.

9.4. Para hakim mestilah:
  1. Mencapai keputusan menang/kalah. Keputusan seri tidak dibenarkan.
  2. Tidak menyampuk atau memberikan sebarang komen semasa perdebatan berjalan.
  3. Panel juri tidak boleh berbincang. Beliau perlu nyatakan keputusan sendiri.
  4. Jika keputusan sebulat suara tidak dapat dicapai, maka keputusan majoriti akan diterima pakai. Pindaan terhadap sebarang keputusan tidak dibenarkan selepas penyerahan undi.

10. PEMARKAHAN

10.1. Setiap ucapan substantif akan diberikan markah maksimum 100 markah berdasarkan kepada:
  1. Isi: 40 markah
  2. Gaya/penyampaian: 40 markah
  3. Tatacara/kaedah: 20 markah
10.2. Isi akan diadili dari segi kesesuaian, pengembangan dan penjelasan hujah, fakta dan contoh yang digunakan serta bidasan yang berkesan terhadap hujahan pihak lawan.

10.3. Tatacara akan diadili dari segi:
  1. Keberkesanan penyusunan dan struktur ucapan pendebat.
  2. Keberkesanan penyusunan dan struktur kes sesuatu pasukan secara keseluruhan.
  3. Kesinambungan hujah/fakta.
  4. Kerja sepasukan.
10.4. Gaya penyampaian akan diadili dari segi kesesuaian dan keberkesanan gaya penyampaian hujahan. Penyampaian yang mempunyai nilai bujukan yan tinggi serta dapat menarik perhatian penonton akan dipandang positif oleh hakim (dengan syarat; ia membantu hujahan).

10.5. Ucapan gulungan akan diberikan markah maksimum 50 berdasarkan nisbah pemarkahan ucapan substantif seperti yang tersebut di atas.

10.6. Kriteria utama pemarkahan adalah nilai bujukan ucapan iaitu sejauh mana ucapan itu benar-benar meyakinkan dan memberi sokongan terhadap usul sepasukan dan konteks perdebatan.

10.7. Penggunaan bahan bantuan luar (buku, carta, majalah dan lain-lain) semasa perdebatan berlangsung adalah dilarang sama sekali.

10.8. Semua peserta hendaklah berkelakuan sopan dan penuh tertib semasa pertandingan.


11. FAKTA BARU

11.1. Tiada sebarang "fakta baru" dibenarkan bagi disampaikan dalam ucapan substantif pendebat ketiga dan ucapan gulungan mana-mana pasukan (kerajaan atau pembangkang). Contoh baru ialah bukan fakta baru. Hujahan atau fakta dikira "baru" kecuali:
  1. Telah digunakan dalam mana-mana hujahan terdahulu.
  2. Merupakan bidasan terhadap hujahan pasukan lawan

12. DEFINISI
12.1. Tugas memberikan definisi usul perdebatan yang wajar dan boleh dibahaskan adalah hak dan tanggungjawab pihak kerajaan.

12.2. Pihak pembangkang boleh:
  1. Menerima definisi kerajaan secara keseluruhan/mutlak; atau
  2. Menolak secara keseluruhan/mutlak dan mengemukakan definisi alternatif.
  3. Pihak pembangkang boleh menolak definisi pihak kerajaan secara keseluruhannya hanya jika:
  • Definisi pihak kerajaan tidak mempunyai kaitan yang kuat dengan maksud sebenar usul.
  • Definisi pihak kerajaan adalah "truistik" iaitu tidak boleh dibangkang dengan hujahan rasional.
  • Definisi pihak kerajaan berdasarkan kepada pendefinisian yang terlalu spesifik ataupun hanya melibatkan masa dan tempat yang tidak masuk akal.

13. PENJELASAN
13.1. Penjelasan/celahan dalam konteks ini bermaksud penjelasan yang diminta oleh pihak lawan bagi membetulkan pendebat yang sedang berucap atau menimbulkan fakta penting. Penjelasan/celahan hendaklah ringkas dan bersangkutan dengan apa yang sedang dibincangkan oleh pendebat tersebut.

13.2. Pendebat yang sedang berucap mempunyai hak mutlak sama ada untuk menerima atau menolak celahan penjelasan yang cuba difikirkan. Bagaimanapun, penolakkan penjelasan yang berterusan atau penerimaan yang keterlaluan sehingga menjejaskan aktiviti ucapan pendebat tersebut harus dipandang serius oleh hakim. Adalah disyorkan supaya setiap pendebat menerima sekurang-kurangnya dua (2) penjelasan. Walaubagaimanapun, pertandingan ini tidak menetapkan had maksimum atau minimum bagi setiap pendebat menerima penjelasan/celahan.

13.3. Penjelasan yang diberikan hendaklah tidak melebihi 15 saat. Loceng akan dibunyikan selepas 15 saat masa. Jika penjelasan/celahan belum selesai, pendebat yang memberi penjelasan/celahan hendaklah duduk serta merta.

13.4. Penjelasan tidak boleh diminta sebelum berakhir minit pertama dan minit terakhir mana-mana ucapan substantif. Loceng akan dibunyikan sekali menandakan permulaan dan sekali gus bagi menandakan pengakhiran waktu meminta penjelasan yang dibenarkan. Penjelasan tidak boleh diminta dalam ucapan penggulungan.

13.5. Hanya ahli daripada pihak lawan yang boleh meminta penjelasan. Pendebat hendaklah memberi isyarat jika ingin mencelah dengan cara yang sesuai seperti berdiri, mengangkat tangan, membuat permohonan dan sebagainya.

13.6. Pendebat yang sedang berucap boleh menerima atau menolak penjelasan dengan memberi isyarat fizikal atau memberitahu secara lisan. Jika ditolak, pendebat yang ingin meminta penjelasan hendaklah duduk dan menunggu peluang yang lain.

13.7. Apabila penjelasan diterima, pendebat yang sedang berucap tidak boleh menjawab selagi pendebat yang meminta penjelasan belum selesai mencelah atau peruntukan masa selama 15 saat yang diberikan belum selesai (mana yang terdahulu). Pendebat tidak wajar memotong penjelasan yang telah diterima oleh pihak lawannya apabila telah diterima.


14. BANTAHAN SEMASA PERDEBATAN SEDANG BERLANGSUNG

14.1. Bantahan dalam konteks ini adalah bantahan yang diajukan oleh pendebat kepada Yang di Pertua Dewan semasa perdebatan sedang berlangsung bagi menarik perhatian beliau terhadap perlanggaran sebarang peraturan perdebatan seperti:
  1. Penggunaan aksi atau bahasa kurang sopan dalam perdebatan; atau
  2. Pengenalan fakta baru semasa ucapan substantif pendebat ketiga; atau
  3. Ucapan gulungan; atau
  4. Mana-mana pendebat yang telah melebihi 30 saat had masa yang diperuntukkan.
14.2. Menjadi tanggungjawab setiap pasukan untuk menyuarakan bantahan terhadap sebarang perlanggaran peraturan. Keputusan Yang di Pertua Dewan sama ada untuk menerima atau menolak bantahan yang dikemukakan adalah muktamad.

14.3. Jika bantahan diterima, Yang di Pertua Dewan boleh mengarahkan pendebat yang terbabit agar mematuhi peraturan yang dibangkitkan dan masa yang digunakan untuk membuat bantahan akan dikira dari masa pendebat yang sedang berucap. Sebaliknya jika bantahan ditolak, pendebat terbabit akan diberikan masa tambahan bagi menggantikan masa yang telah digunakan semasa membuat bantahan tersebut.


15. RAYUAN

15.1. Keputusan hakim adalah muktamad.

15.2 Sekiranya terdapat apa-apa bantahan teknikal, sila kemukannya kepada Urusetia Pertandingan atau pihak penganjur yang telah ditentukan secepat mungkin selepas selesai sesuatu perdebatan.

15.3. Jika pihak penganjur mendapat berlaku sebarang kesilapan atau kecacatan semasa pengendalian sesuatu perdebatan (yang berkaitan dengan perkara teknikal sahaja), usaha akan dibuat agar tidak ada kepentingan mana-mana pihak yang terjejas. Jika perlu, hakim dan peserta akan diberitahu tentang isu berbangkit agar tidak berulang.


16. USUL PERDEBATAN
16.1. Usul-usul perdebatan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris diberi pada hari pendaftaran. Manakala usul Bahasa Arab akan diberi bersama syarat Kejohanan.